Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia
memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Dari
Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak
Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih
korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya
pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya,
tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke
suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh
sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati”.
(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Korban
adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang
dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan
keredhaanNya. Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat
nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya.
Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh
Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh
menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu. Islam menggalakkan umatnya
agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas
semata-mata kerana Allah S.W.T.
Ibadah korban
memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda
kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga
ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada
Allah serta mengerjakan larangan-Nya.
Korban disyariatkan bagi
mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan
pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula
nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa
pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah
sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak,
ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya,
kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat
kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.
Amalan berkorban
bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan
hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat
vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah
penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia
melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir
dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal
dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan
hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti
korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit
maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju
kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Menurut Imam
As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada
mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di
Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia
amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun
begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang
mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang
bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu)dan berkorbanlah.